Sunday, April 19, 2009

Pemantapan K-ekonomi

Pemantapan K-ekonomi perlu usaha lebih sepadu

KUALA LUMPUR 19 Okt. - Usaha yang lebih bersepadu untuk mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan perlu dilaksanakan walaupun kerajaan telah mengambil pelbagai langkah untuk memajukannya.

Menurut Laporan Ekonomi 2001/2002 yang dikeluarkan hari ini, tumpuan utama yang perlu diberikan adalah kepada pembangunan sumber manusia, sains dan teknologi (S&T), penyelidikan dan pembangunan (R&D), infrastruktur, infostruktur serta pengurangan jurang digital dalam menganjak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan.

``Ekonomi berasaskan pengetahuan adalah penting untuk negara terus mencapai pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kekal berdaya saing di peringkat global,'' kata laporan berkenaan.

Antara langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam merealisasikan ekonomi berasaskan pengetahuan adalah dengan menubuhkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan sehingga kini MSC telah menarik 563 buah syarikat termasuk 48 syarikat bertaraf dunia.

Menurut laporan berkenaan, Indeks Pencapaian Teknologi (TAI) oleh United Nation Human Development Report 2001 telah meletakkan Malaysia di kalangan peneraju yang berpotensi dalam bidang teknologi dengan menduduki tangga ke-30 daripada sejumlah 72 buah negara.

Manakala, Indeks Pembangunan Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (KDI) yang dirangka oleh Unit Perancang Ekonomi meletakkan Malaysia di tangga ke-17 di kalangan negara maju dan membangun.

KDI menunjukkan Malaysia menunjukkan prestasi baik dari segi infrastruktur telekomunikasi dan tahap celik huruf tetapi perlu meningkatkan usaha untuk memperbaiki enrolmen pendidikan tinggi, R&D dan penggunaan komputer, khususnya sambungan Internet.

Untuk melengkapkan usaha memupuk ekonomi berasaskan pengetahuan, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Induk Ekonomi Berasaskan Pengetahuan yang menggariskan tujuh strategi.

Strategi-strategi berkenaan termasuk memupuk dan memperoleh sumber manusia yang perlu; menubuhkan institusi untuk menggerakkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan memastikan infostruktur dan infrastruktur yang perlu.

Empat strategi lain adalah meningkatkan kapasiti S&T; menggalakkan sektor swasta menerajui ekonomi berasaskan pengetahuan; membangunkan perkhidmatan awam berasaskan pengetahuan dan merapatkan jurang pengetahuan dan digital. - Bernama

No comments: